Make your own free website on Tripod.com
BIDUK YANG BERLALU
 
 

Sedari tadi, munirah hanya melamun.sesekali kelihatan dia mengesat matanya yang bengkak berair dengan kertas tisu. Hari ini dia bersendirian dirumah menghabiskan sisa-sisa cuti sakitnya sejak empat hari lalu. Ibunya kepasar. Dari tingkap dapur beralih ketingkap depan rumah flat tiga biliknya itu. Dipandangnya kebawah, kejalan raya yang penuh dengan kenderaan yang berasak-asak, sama seperti penderitaan yang dialaminya sekarang.

Sudah lebih setahun dia ditinggalkan oleh suaminya, lelaki yang dinikahi dengan penuh kerelaan. Lelaki yang mula-mulanya hanya ditaburkan kata-kata perangsang dan luahan perasaan simpati itu, akhirnya menjebak hingga terperangkap dalam keadaan membingungkan. Perasaan simpati yang dihulurkan selama ini, akhirnya menjadi seakan-akan tali kejap yang kemudian mengikat kuat dan menuntun dirinya kealam perkahwinan yang tidak pernah terlintas dalam benaknya dahulu.

Pada mulanya dirasakan hidup ini terlalu bahagia buatnya. Tiada apa yang dapat membahagiakan dirinya, melainkan suaminya jua. Walaupun dia sedar bahawa pilihannya ini adalah duda beranak tiga. Walaupun dia sedar yang teguran dan nasihat keluarganya semata-mata untuk kebaikannya juga. Tapi dia tetap terus dengan rancangannya. Tak pernah dijangkakan yang perkara begini akan terjadi pada dirinya.

Dia sedar. Masa dia berkahwin dengan Mansur dahulu, Mansur adalah duda yang telah bercerai dengan isterinya. menurut Mansur sendiri, bekas isterinya telah lari kerana mengikut lelaki lain. Jadi, salahkah dia berkahwin dengan duda yang kesepian seperti Mansur ini? Dia bukannya perampas, seperti yang dituduh oleh janda Mansur. Rumahtangga yang dibinanya juga bukanlah diatas tapak keruntuhan orang lain. Dia tidak pernah mengacau hak orang lain.

Dia kenal Mansur pun setelah Mansur rasmi menjadi duda. Sebab itulah, selepas dua tahun mengenalinya. dia lantas terima sahaja tanpa berfikir panjang lagi bila Mansur melamarnya. Pada mulanya, ibu dan keluarganya berat untuk melepaskannya. Nasihat demi nasihat yang beralaskan pandangan dan kebimbangan mereka cuma dipandang sepi sahaja. Dia tetap berkeras dengan pendiriannya. Tiada siapa yang boleh menahannya. Walaupun ibunya sendiri.

"Dah bulat hati kau Irah?" teringat dia pertanyaan ibunya suatu hari selepas rombongan Mansur datang melamarnya.
"Ya, mak" jawabnya singkat.
"Sudah kau fikirkan masak-masak perkara ni? sudah kau tinjau jauh-jauh kedepan?" tanya ibunya lagi.
Munirah merenung ibunya. Kali ini cuba dicari dicelah-celah wajah tua itu akan maksud kata-kata tadi.
"Maksud mak?" soalnya pula. Setelah gagal mencari ertinya sendiri.
"Yalah, kau tentu maklum yang Mansur itu adalah duda beranak tiga. Bercerai hidup pulak tu, sedangkan kau pulak masih anak dara.." terputus kata-kata ibunya disitu.
"Lagipun mak bimbang, sama ada nanti kau dapat ke tidak mengimbangi keadaan yang mungkin asing bagi kau." sambung ibunya.
"Itu Irah tahu, dan Irah rasa telah pun bersedia untuk itu!" pintas Munirah, cuba meyakinkan ibunya. Direnungi ibunya, tampak ada riak-riak kebimbangan dan kesedihan pada wajah tua itu.

Terasa kesal juga hatinya kerana meletakkan ibunya dalam keadaan begini. Memang tak pernah dia membantah atau melawan kata-kata ibunya sebelum ini. Sejak ayahnya meninggal empat tahun lalu,dia hanya tinggal berdua dengan ibunya diflat tiga bilek peninggalan aruah ayahnya. Abang dan kakaknya telah berumahtangga dan tinggal berasingan. Kini dialah yang menanggung ibunya. Menjaga makan dan sakit pening orang tua itu. Ibunyalah tempat dia bermanja, tempat dia berbincang segala masalah.

Dia faham yang kata-kata dan pandangan ibunya itu semata-mata adalah untuk kebaikannya. tetapi, perasaan dan pendiriannya haruslah diambil kira juga. Masa depannya adalah haknya. dan biarlah dia berjudi dengan bertaruhkan haknya itu. Dia percaya yang Mansur tidak akn mensia-siakannya. Dia begitu yakin pada Mansur. Walaupun baru dua tahun dia mengenalinya, tapi dirasakan yang dia telah begitu matang sekali dengan hati, perasaan dan diri Mansur.

Dalam masa dua tahun, dia telah banyak belajar tentang Mansur. Dirasakan Mansurlah satu-satunya lelaki yang layak dijadikan teman hidup. Dia tidak berkira sangat tentang latar belakang atau pun masa silamnya. Kerana padanya, masa silam seseorang itu adalah hak individu yang tidak perlu diungkit-ungkit. Dia pun sudah belajar mengenali keluarga Mansur, ibu bapa dan keluarga terdekatnya dilihat begitu senang dengannya. Dia juga sudah belajar menyayangi anak-anak Mansur agar dia tidak akan terasa kekok bila sudah menjadi isteri Mansur nanti. Rasanya dia telah mampu untuk menangani dan memikul segala beban yang akan berpindah kepundaknya kelak. Biarlah nanti dia menjadi seorang isteri dan ibu yang baik, walaupun cuma pada anak tirinya.

Akhirnya ibunya tiada pilihan lain, melainkan merestui pilihannya. Majlis diadakan secara besar-besaran. Terkopak juga wang simpanannya kerana semua perbelanjaan adalah atas pundaknya. Kerana sebelum ini Mansur sudah berkali-kali menyatakan yang dia tidak mampu untuk berhabis-habisan. Dia harus menanggung nafkah anak-anaknya yang seramai tiga orang itu. Sedangkan wang hantaran sebanyak $4,000 pun tidak sanggup diadakan. Terpaksa juga dia menutup malu. Mansur cuma datang membasuh kaki sahaja. Dia faham Mansur harus membahagikan tanggung jawabnya.

Hari persandingannya itu disambut meriah, semua yang diundang hadir.

Tapi dia tidak pernah menduga. Didalam kemeriahan dan kegembiraan majlis itu, akan terjadi keriuhan dengan kehadiran Tijah, janda Mansur. Tamu yang tidak diundang itu muncul bersama ketiga-tiga anaknya. Tijah bagaikan orang yang dirasuk jembalang. Tak dihiraukan para tetamu tetamu dimajlis itu. Dia menerpa bekas suaminya dengan lolongan dan linangan air mata. Dipeluknya kaki Mansur dengan ratap dan rayuan yang bercampur aduk. Keadaan menjadi kecoh dengan drama yang tak terancang. Para tetamu pula menjadi penonton dengan telahan dan tanggapan mereka yang berbeza-beza.

Raungan Tijah pula semakin menjadi bila cuba dileraikan oleh adik Mansur. Pelukan pada kaki Mansur menjadi semakin erat seperti tidak mau dilepas lagi, ditambah pula dengan rengekan ketiga-tiga anaknya. Mansur dilihatnya dalam keadaan serba salah. Tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulutnya.

Direnungnya para tetamu dihadapannya. Dirasakan pandangannya berbinar dan pipinya mula kuyup dengan airmata. Hatinya terguris dengan perlakuan bekas isteri suaminya itu. Dilihatnya diakhir majlis, para tetamu meninggalkannya dengan ucapan yang diselangi dengan senyuman sinis yang seakan mengejek. benar-benar dia rasa terguris. Dan malam pengantin yang selama ini dinanti-nantikan denga penuh kesabaran dan debaran, dan harapan akan terisi dengan seribu macam kemanisan dan kebahagian itu pun menjadi hambar. Kebahagian yang diharapkan selama ini cuma dapat dinikmati selama tiga bulan sahaja. Pandangan dan kebimbangan ibu dan keluarganya yang sebelum ini dipandang sepi telah pun menjadi kenyataan.

Kini dia ditinggalkan seorang diri merentasi hutan belukar kehidupan yang beronak ranjau ini. Dirasakan yang dia hanyalah seorang isteri pada namanya sahaja. Statusnya hanya tercatat pada surat nikah sahaja. Dia bagaikan disalai tak berapi dan bergantung tak bertali. Dia tertanya-tanya dan tercari-cari sendiri sebabnya. Sudah puas dirayu suaminya supaya pulang. Berbagai ikhtiar dilakukan, tapi Mansur tetap begitu juga. Dia mendapat tahu yang suaminya kini tinggal serumah dengan jandanya. Dan dia juga difahamkan yang Mansur sudahpun rujuk kembali dengan bekas isterinya.

Kakinya sudah puas memanjat tangga mahkamah membuat aduan. Tapi jawapannya sama sahaja. Sabar..sabar..dan tunggu.. tunggu..dan tunggu juga.

Tetapi, berapa lama lagi dia harus menunggu, kesabarannya sudah hampir kepuncak. Dia tidak dapat lagi menahan hati dan menerima sahaja perlakuan Mansur yang semakin hari semakin sombong dan angkuh itu. Tak sanggup lagi dia menelan cemuhan dan kata-kata yang menyakitkan hati, yang disuapkan saban waktu oleh bekas isteri suaminya itu.

Apakah dihati Mansur tidak ada setitik pun rasa insaf dan belas, ataupun rasa kasih dan sayang yang sebelum ini menjadi kata-kata hariannya? Apakah tegal hatinya membiarkan isterinya sendiri terlonta-lonta sendirian dalam kekalutan begini? Dan Tijah pula, dimanakah dibuangnya perasaan kewanitaannya. Apakah sanggup dia merosakkan hati kaum sejenisnya. Apakah ini dendam yang tertanam dihatinya demi merebut Mansur kembali?
"Hoi!"
Tersentak Munirah. Segala lamunannya mati serta merta. Dia menoleh kearah datangnya sergahan tadi. Dilihat ibunya tercegat disampingnya.
"Apa nak jadi dengan kau ni Irah, sampai mak masuk pun tak sedar." sambung ibunya setelah setelah dilihat Munirah telah sedar dari lamunannya.
"Tak guna kau fikir-fikirkan sangat, kalau dia masih sayangkan kau, tentu dia balik menjenguk. Bukannya dia tak tahu kau sakit!" Munirah menatap wajah ibunya. Dilihat mata orang tua itu basah berair. Dia sedar ibunya juga turut sedih dan kecewa dengan perlakuan Mansur. Dia insaf, betapa kasih dan sayangnya ibu tua ini. Munirah menghampiri ibunya.
"Tak apalah mak, besok mak temankanlah Irah. Irah dan Abang Mansur akan kemahkamah. Kami dipanggil untuk ditinjau perkembangan perhubungan kami.." terhenti kata-katanya disitu. Dia mengesat matanya yang sudah tak berair lagi.
"Irah berserah saja pada takdir, kalau Abang Mansur nak lepaskan Irah pun, Irah rela. Tak guna selamanya Irah begini,"

Ibunya merenung Munirah, tak disangka yang anaknya itu akan senekad begini dalam membuat keputusan. Dia serba salah. Dia memang tidak menggalakkan perceraian anaknya, tetapi dia pun tidak akan membiarkan anaknya itu menanggung penderitaan ini selama-lamanya. Padanya, biarlah kekeruhan ini dijernihkan kembali. Harapannya, biarlah biduk berlalu, asalkan kiambang yang ditinggalkannya itu bertaup kembali...
 

SEKIAN

Next
 
Home

Menu Utama