Make your own free website on Tripod.com

Bahasa Jiwa Bangsa

 
Sebelum Putera menulis, menghurai dan membincangkan topik ini, ada baiknya Putera menceritakan serba sedikit suatu hikayat, jangan salah sangka bukan Hikayat Hang Tuah yang menceritakan kegagahan pahlawan Hang Tuah, bukan Hikayat Seribu Satu Malam yang menceritakan seribu satu keajaiban tapi apa yang hendak Putera ceritakan adalah satu hikayat yang berlaku dalam masyarakat pelajar moden.

Tesebutlah kisah seorang keturunan putera raja telah berjaya melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Maka bermulalah satu sketsa kehidupan baru. Nama hamba Allah ini ialah Shabiruz. Shabiruz adalah seorang yang baik budi pekertinya dan berpegang teguh pada prinsip hidupnya. Cuma rakan-rakannya tidak tahu bahawa beliau adalah berdarah diraja dan beliau tidak pula sombong dengan genetik yang ada pada tubuhnya. Dipendekkan cerita beliau menetap di sebuah rumah besar bersama empat rakan-rakannya yang sebelum ini tidak pula dikenali akan budi pekerti dan tingkah laku rakan-rakannya.

Suatu hari beliau terdengar perbualan rakan-rakannya yang penuh dengan nada gembira. Maklumlah mungkin kerana terlalu gembira dengan suasana yang baru sahaja diterokai. Salah seorang rakannya, Suriz terlalu gembira ketika berbual lalu berkata..."Hei siallah, betulke kau nak ke Huddersfield, ada Malaysian Nightlah, sure boleh jumpa banyak member lama." Seorang rakannya pula menyampuk,"Alamak ini mesti best ni, p*****k betul!" Niki yang berbadan montel mengubah tajuk perbualan, " Hei b*t*hla, takkan nak pergi Huddersfield naik train, macam mana kalau kita sewa kereta?" Perbualan rakan-rakan mereka diselang-seli dengan hilai ketawa, maklumlah sehati sejiwalajh katakan...tapi Syabiruz yang dikatakn cukup besar wibawanya dan karismanya kebingungan di dalam situasi ini. Mungkin ada sentuhannya yang berlainan dengan rakan-rakannya yang berbau enigma, masgis dan rahsia. Mungkin juga imej gentleman dan gerak aristokratnya serta sentuhan jiwa sentimentalnya yang luar biasa.

Tutur katanya di susun rapi, perkataannya halus dan mantap penuh dengan unsur-unsur possitif, pun begitu Shabiruz merasa susah untuk berkomunikasi dengan rakan-rakannya. Suatu hari, berlakulah pertengkaran diantara beliau dan rakan-rakannya. Pertengkaran bermula apabila rakan-rakannya yang baru sahaja membeli hifi canggih sering membuka 'volume' dengan tahap paling maksima. Sudahlah tuh,bahasa yang didendangkan oleh penyanyi 'Mat Heavy metal' ini adalah bahasa yang tidak dapat diterima oleh Shabiruz walaupun ia bukan dalam bahasa ibunda. Kalau sehari masih lagi betahan tetapi kalau sudah dua purnama pencemaran bunyi dan bahasa ini berterusan, Shabiruz yang dikatakan penyabar tidak lagi dapat bersabar. selama ini beliau banyak berdiam diri, walaupun yang sebenarnya beliau cukup berkarisma dalam menegakkan prinsipnya.

Dalam menegakkan prinsipnya, beliau tak pilih bulu, jadi tidak mustahil ada yang berbulu, kerana Shabiruz tidak seperti dulu, yang segan-segan dan pemalu. Berlakulah perdebatan yang hangat, Niki yang berbadan montel itu terus berkata,"Hei siallah, kamu tak berhak nak control kami, lantak kamilah nak dengar muzik heavy metal ni!" Shabiruz tenang mendengar hujah rakan-rakannya, lalu dengan tenang terus menyusun kata,"Maafkan saya, keadaan sekarang semakin tenat, saya pun nak belajar juga." Kawannya yang seorang lagi menyampuk,"Celaka betullah, orang lain boleh juga study, apasal hang tak boleh pulak?" Shabiruz terus menyusun kata-katanya dengan nada yang penuh dengan kesabaran," Maafkan saya, awak tak boleh samakan citarasa saya dengan citarasa awak, saya pun nak belajar, tapi masalahnya saya tak boleh belajar dalam keadaan yang hingar-bingar ni. Apa hak kamu semua menganggu konsentrasi saya ketika belajar, tidakkah anda melanggar hak asasi individu dalam menjalani kehidupan seharian." Lalu beliau terus beredar, selang beberapa hari, beliau tidak lagi menetap bersama rakan-rakannya itu. Maka tamatlah cerita Hikayat Moden ini yang berkisar kehidupan pelajar yang menjaga tutur kata bahasanya berbanding dengan rakan-rakannya yang sering mengeluarkan kata-kata kesat ketika berkomunikasi dalam kelompoknya yang tersendiri.

Sesungguhnya bahasa Melayu telah menjadi lingua franca di zaman kegemilangan Kesultanan Melaka. Ianya merupakan tanda bahawa suatu ketika dahulu bangsa Melayu telah bertamadun dan mempunyai peradaban yang tinggi. Bahasa merupakan medium perantaraan dalam komunikasi. Struktur bahasa Melayu itu begitu indah sekali kalau dihayati betul-betul. Ya, bahasa Melayu memang indah, ada pantunnya dan ada melodinya yang tersendiri. Tetapi Putera tidak faham mengapa keindahan bahasa Melayu ini tidak digunakan sepenuhnya oleh generasi muda masa kini. Kalau ditinjau Hikayat Moden tadi, jelas rakan-rakan Shabiruz sering mengeluarkan perkataan yang boleh dikategorikan sebagai mencarut. Tetapi yang anehnya, ianya dianggap sebagai tali kemesraan dalam menghubungkan ikatan persahabatan daklam kelompok yang tersendiri. Dalam erti kata lain, ianya dijadikan penghubung jarak yang memisahkan ikatan hubungan.

Sebenarnya setiap tutur kata kita memainkan peranan yang penting dalam membentuk personaliti individu itu. Kerana itu dalam Hikayat Moden itu tadi, Shabiruz yang mempunyai imej budak baik tidak tergamak mengeluarkan kata-kata kesat kerana ianya melibatkan maruah peribadi yang perlu dipelihara. Perkataan seperti 'anak haram', 'sial', tidak sepatutnta digunakan kerana kalau ditinjau dari sudut falsafah dan maksud bahasa itu ianya adalah merupakan penghinaan yang amat keji. Di manakah letaknya harga maruah diri kita sebagai bangsa Melayu yang terkenal baik budi pekertinya dan lemah lembut bahasanya?

Kalau ditinjau dari sudut agama, ianya adalah merupakan perkara yang dilarang. Jadi mengapa kita harus mengamalkannya? Putera tidak faham, mengapa generasi muda yang intelek mudah terpengaruh untuk menggunakan bahasa tersebut. Dalam dunia yang semakin canggih ini, amat sukar untuk menentukan sana ada anak dara itu masih gadis lagi atau lelaki itu masih teruna lagi. Pencabulan sering berlaku tanpa diundang dan dirancang. Kesucian tidak lagi dititik-beratkan, maka apa lagi yang tinggal? Kadang-kadang harapkan pagar, pagar makan padi. Begitulah juga dengan bahasa. Bahasa menunjukkan bangsa. Tetapi bagaimana sekiranya individu yang sering menggunakan bahasa kotor dalam perbualan seharian? Tidakkah mereka menodai kesucian bahasa itu? Jadi bangsa apakah yang boleh dikategorikan kepada pengamal bahsa kotor ini? Adakah seperti apa yang diucapkan oleh mereka setiap hari? tepuk dada tanyalah selera.
 

Putera