Make your own free website on Tripod.com
KEMUNCULAN BENTUK BAHASA KREOL YANG TERPESONG DALAM MASYARAKAT MELAYU DAN IMPLIKASINYA TERHADAP  PEMBAIKAN BAHASA.

 Bahasa Kreol merupakan bahasa yang sudah menjadi bahasa ibunda serta merupakan bahasa pertama bagi sesebuah keluarga atau pun kelompoknya. Penggunaan bahasa ini tidak terbatas kepada kelompoknya sahaja, malah turut juga ditiru sebutannya oleh masyarakat Melayu yang hidup bersama kelompok penutur tersebut. Menurut R.A. Hudson (1983: 66), menyatakan bahawa bahasa kreol adalah daripada bahasa pidgin yang telah diterima sebagai bahasa natif. Manakala Peter Trudgill pula mendefinisikan bahasa kreol sebagai bahasa pidgin yang telah mempunyai penutur-penutur yang menukarkannya sebagai pertama, seperti yang tersebut dalam bukunya yang telah diterjemahkan oleh Nik Safiah Karim (1984: 234) “Sosiolinguistik Satu Pengenalan”.
  “Bahasa Kreol ialah bahasa yang bukan berasal daripada bahasa tempatan sesebuah negara tetapi datang dari luar. Ia telah begitu lama digunakan dan menerima unsur-unsur bahasa tempatan. Bahasa itu kemudiannya menjadi bahasa natif atau bahasa ibunda bagi kelompok penutur dalam masyarakat berkenaan.”
     (Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam 1985: 250)

 

 Sementara Asmah Haji Omar (1991: 28) pula berpendapat bahawa bahasa kreol adalah bahasa kacukan yang sudah mantap, yang merupakan kacukan daripada sekurang-kurangnya dua bahasa. Daripada penerangan dan petikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa kreol adalah asalnya daripada bahasa pidgin atau bahasa lingua franca yang telah diterima masuk ke dalam bahasa tempatan dan telah diterima sebagai bahasa pertama mereka. Para pengkaji tempatan juga bersetuju dengan pendapat bahawa bahasa kreol  bukanlah bahasa pidgin atau bahasa tempatan tetapi bahasa kreol itu adalah bahasanya yang tersendiri dengan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri juga.

 Terdapat banyak faktor yang menyebabkan wujudnya bahasa kreol dalam masyarakat di Malaysia. Berdasarkan analisis yang dibuat dengan rujukan terperinci mengenai bahasa kreol ini dapatlah dikupas beberapa faktor yang telah mempengaruhi kewujudan bahasa kreol itu sendiri, antara yang terpenting merupakan faktor geografi, faktor perkahwinan, faktor perniagaan dan juga  faktor pembeza.

 Penelitian daripada aspek geografi ini ditinjau kerana setiap kawasan terdapat dialek yang berbeza. Maka apabila bahasa ini dipertemukan di satu tempat akan mengalami percampuran atau lebih dikenali dengan istilah kacukan.  Pada asalnya bahasa Baba merupakan bahasa pidgin iaitu bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa Cina yang bersifat sementara. Namun akhirnya bahasa Baba berubah menjadi bahasa Kreol apabila bahasa kacukan ini menjadi bahasa pertuturan bagi masyarakat Baba-Nyonya. Kewujudan bahasa kreol ini adalah akibat dari pertembangan bahasa atau budaya yang terdiri dari faktor geografi yang berlainan seperti bahasa Cina dan bahasa Melayu yang telah berlaku semenjak dahulu lagi.

 Faktor perkahwinan juga merupakan faktor terpenting yang menyebabkan wujudnya bahasa kreol. Perhatian terhadap bahasa kreol Baba-Nyonya menjelaskan bahawa masyarakat itu adalah terdiri daripada Cina Hokkien, namun kewujudan Baba-Nyonya ini dipercayai hasil daripada perkahwinan di antara perempuan Hindu Chitty dengan lelaki Cina. Namun demikian generasi yang lahir ini berkahwin lagi dengan kaum Cina. Namun begitu mereka tetap menggunakan bahasa Melayu yang dipengaruhi bahasa Cina.

 Nik Safiah Karim telah menterjemahkan buku yang ditulis oleh Peter Trudgill dalam bukunya “Sosiolinguistik Satu Pengenalan” seperti berikut:
a) Pengguguran kopula tidak adalah tidak berlaku dalam dialek-dialek British.
b) Ciri pengguguran kopula adalah satu ciri bahasa kreol Inggeris yang dituturkan oleh orang Negro di daerah Caribean, dan
c) Ciri ini lebih umum dalam pertuturan orang kulit putih dengan orang kulit hitam.
(Peter Trudgill, 1984:91)

 Bahasa Kreol mempunyai cirinya yang tersendiri, menurut Nik Safiah Karim dalam bukunya “Sosiolinguistik Satu Pengenalan”, beliau menyatakan bahawa bahasa kreol ini mempunyai lingua franca kerana dituturkan oleh beberapa kumpulan dalam situasi dan konteks mereka sendiri.
“Keadaan bertambah sulit apabila bahasa  Djuka iaitu antara bahasa kreol yang paling terkenal juga dituturkan dalam bentuk pidgin sebagai lingua franca oleh beberapa kumpulan orang Dayak Amerika yang tinggal di situ.”
Bahasa Kreol juga mempunyai ciri kemasukan unsur-unsur kesalahan, jika diteliti terhadap bahasa Baba dan Nyonya didapati bahawa bahasa ini banyak dipinjam daripada bahasa Cina terutamanya bahasa Hokkien. Dengan demikian, kebanyakan perkataanya mempunyai penyebutan bunyi yang hampir sama dengan bahasa Hokkien. Contohnya:
  Perkataan    Sebutan
  Lauteng    lau-teng
  Teko     te-ko
  Kuchai     ku-chai
  Kueh Tiau    kutiau

 Namun begitu makna perkataan tersebut tidak lari daripada makna yang terdapat dalam bahasa Melayu. Namun begitu makna perkataan tersebut tidak lari daripada makna yang terdapat dalam bahasa Melayu. Misalnya ayat bahasa Melayu dibandingkan dengan bahasa Baba dan Nyonya. Cuma unsur tatabahasa adalah tidak tepat jika ditinjau dari sudut bahasa Melayu. Contohnya:
 Saya mahu masak nasi. (Ayat bahasa Melayu)
 Gua mo masak nasik. (Ayat Baba Nyonya)

 Jika kita tinjau bahasa kreol Baba-Nyonya kita akan mendapati bahawa tatabahasa adalah suatu bidang yang amat tidak dititikberatkan dalam penggunaan bahasa kreol.
“Bahasa Melayu Baba (bahasa kreol Baba-Nyonya) tidak terdapat tatabahasa tertentu kerana mereka tidak menunjukkan minat dalam mempelajarinya walaupun sudah lebih 400 tahun berada di Nusantara ini.”
        (Shellabear, 1913: 53)
Biasanya struktur ayat yang mereka gunakan adalah lebih banyak dipengaruhi oleh struktur bahasa Cina. Selain itu mereka juga mempunyai kod bahasa yang dinamakan “cakap terbalik” ataupun “bahasa terbalik”.

 Sebagai kesimpulannya, pengkajian terhadap bahasa kreol ini dalam beberapa tempat di benua tertentu telah menggambarkan dengan jelas mengenai kewujudannya. Bahasa kreol telah berperanan sebagai bahasa komunikasi yang berguna kepada penuturnya umpama perhubungan dengan “jalan tengah” yang mana disesuaikan antara bahasa asal usul mereka dengan bahasa masyarakat setempat. Dari kelainan itulah akan dikenali sebagai kreol.  Kreol telah memberi sumbangan yang berguna sebagai bahasa penuturan dan telah memainkan peranan berfungsi untuk mengeratkan perhubungan masyarakat penuturnya. Kemungkinan penggunaan bahasa kreol ini akan berkembang ataupun lenyap adalah sepenuhnya bergantung kepada kesetiaan penuturnya.